MELAKA: Penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sememangnya digalakkan menyertai aktiviti luar kampus terutama pada hujung minggu bagi mendedahkan diri kepada persekitaran, sekali gus memupuk keperibadian dan sahsiah diri. Antara aktiviti sering dijalankan pelajar menara gading sama ada dari IPT awam mahu pun swasta ialah menyertai program amal seperti gotong-royong, projek bakti siswa atau perkhemahan di kawasan terpencil. Bagaimanapun, sekumpulan pelajar IPTS dari Kuala Lumpur dan bandar raya ini, termasuk beberapa pelajar asing, mempunyai cara berbeza untuk memupuk sahsiah diri, iaitu dengan menganjurkan pesta liar yang turut membabitkan penggunaan bahan terlarang. Mereka menjadikan sebuah banglo eksklusif di Orna Resort, Bemban, dekat sini, yang terletak di kawasan agak terpencil sebagai markas mengadakan parti berkenaan dengan menyanyi dan menari beramai-ramai sambil menelan pil khayal. Kegiatan kumpulan mahasiswa terbabit yang didalangi dua pelajar lelaki termasuk seorang warga asing terbongkar apabila banglo setingkat yang disewa RM350 sehari itu diserbu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Jasin, diketuai Cif Inspektor Zainal Murad pada jam 5.45 pagi kelmarin. Semua pelajar terbabit yang membayar sejumlah wang kepada penganjur pesta itu mula berkumpul di banglo berkenaan pada jam 8 malam. Dalam serbuan itu, polis menahan 38 orang termasuk sembilan perempuan yang sedang berada di ruang tamu banglo itu. Daripada jumlah itu, 27 pelajar tempatan iaitu 18 lelaki dan sembilan perempuan, manakala enam lagi pelajar lelaki warga asing manakala selebihnya lelaki warga tempatan. Banglo terpencil kira-kira tiga kilometer dari jalan utama itu sesuai mengadakan parti kerana jauh daripada pandangan orang ramai. Tambahan pula, kebanyakan pelajar terbabit menuntut di IPTS berhampiran kawasan itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Tio Kian Teng, berkata dalam serbuan itu, seramai 31 orang yang ditahan itu dipercayai positif dadah jenis syabu manakala dua lagi dipercayai positif ganja. Katanya, pihaknya yang menerima maklumat awam berhubung kegiatan pelajar terbabit turut menemui enam pil Estacy, tetapi tidak menemui kondom atau minuman keras yang boleh dikaitkan dengan pesta seks. “Saya katakan tiada pesta seks kerana tiada sebarang kondom ditemui dalam pemeriksaan ke atas banglo tiga bilik itu ketika serbuan dibuat. Kebanyakan mereka pula ketika itu dipercayai berada dalam keadaan khayal. “Siasatan awal mendapati, semua pelajar terbabit datang ke banglo itu dari Kuala Lumpur dan ada pelajar dari negeri ini. Polis percaya ada bayaran tertentu dikenakan penganjur parti kepada pelajar berkenaan. Bagaimanapun, jumlahnya tidak diketahui kerana masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. Beliau berkata, semua 33 pelajar yang dipercayai positif dadah itu akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya, manakala dua penganjur pesta berkenaan yang juga pelajar akan didakwa mengikut Seksyen 13 C Akta Dadah Berbahaya. Menurutnya, semua mereka yang berusia 20 hingga 28 tahun kini direman empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment