KANGAR 20 April - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menolak andaian pihak tertentu kononnya kenaikan gaji dan elaun kakitangan awam menjadi punca utama kenaikan harga barang keperluan. Bagaimanapun Presidennya, Omar Osman mengakui terdapat sesetengah peniaga yang cuba mengambil kesempatan atas kenaikan gaji dan elaun itu untuk menaikkan harga barang keperluan di pasaran. Katanya, kenaikan harga barang juga disebabkan oleh faktor lain dan bukan semata-mata kerana gaji kakitangan awam dinaikkan. ''Kita ada membincangkan masalah kenaikan harga ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan Khamis lalu dan masalah yang bakal dihadapi oleh mereka yang bukan daripada sektor kerajaan termasuk golongan petani dan nelayan. ''Kita sedar sejak kebelakangan ini apabila gaji sektor awam naik, peniaga akan mengambil kesempatan. Sebab itu kesatuan bersetuju agar tiada pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam bagi mengelak kenaikan harga oleh mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Bohor Temak di sini selepas menghadiri Persidangan CUEPACS Peringkat Negeri Perlis. Khamis lalu, Omar memaklumkan persetujuan kerajaan terhadap tuntutan kongres berkenaan selepas pemimpin kanannya mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri. Tuntutan tersebut ialah kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan. Bagaimanapun, tuntutan pemberian honorarium RM2,000 ditolak oleh kerajaan dan dipersetujui oleh CUEPACS yang mengambil kira keadaan semasa termasuk masalah kenaikan harga barang.
Sumber Maklumat : Utusan Malaysia (21 April 2008)
No comments:
Post a Comment