Wednesday, April 23, 2008

Insiden hampir 90 peratus kawasan Sabah bergelap amat ‘mengejutkan’: Kong

23rd April, 2008

TAWAU: Insiden bekalan elektrik terputus di hampir 90 peratus kawasan di negeri ini yang berlaku malam Isnin lepas, disifatkan oleh Ketua Penyelaras Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tawau Datuk Kong Hon Ming sebagai amat mengejutkan. Sambil turut menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang serius, insiden itu ujarnya tidak seharusnya terjadi apatah lagi apabila ketika ini begitu banyak aduan dibuat oleh masyarakat berhubung masalah bekalan elektrik yang sering terputus. Berikutan hal yang sama, beliau menggesa kepada pihak pembekal tenaga elektrik di negeri ini supaya komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Ditanya adakah pihaknya akan mengutus surat kepada pihak yang berkaitan berhubung masalah terbabit, beliau menjawab ‘kita akan meneliti dahulu isu bekalan elektrik ini dan setelah itu barulah kita akan menghantar cadangan yang difikirkan wajar’. Insiden bekalan elektrik terputus itu bermula kira-kira jam 6.45 petang Isnin lepas dan menurut kenyataan Pengurus Komunikasi Korporat SESB Cenderamatah Cinteh, dianggarkan kira-kira 300,000 pengguna berdaftar mengalami gangguan bekalan terbabit. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Biro Perkhidmatan Awam dan Biro Pengaduan Awam Parti Keadilan Rakyat di sini, kelmarin. Dalam pada itu, Kong dalam kenyataannya turut meminta seluruh masyarakat agar bersatu-padu bagi memastikan hak-hak dan keistimewaan rakyat negeri ini dapat dikembalikan. “Rakyat di negeri ini sudah begitu lama kehilangan hak dan keistimewaannya. Melihat peru-bahan senario politik yang baru berlaku, inilah masanya untuk kita bersatu-padu bagi memperjuangkan hak-hak dan keistimewaan yang telah lama hilang itu,” katanya. Menyentuh program itu, beliau memberitahu pihaknya ketika ini telah menubuhkan dua biro iaitu Biro Pusat Perkhidmatan Awam dan Biro Pusat Pengaduan Awam bagi memudahkan mas-yarakat mendapatkan perkhidmatan atau mengemukakan aduan. Beliau menjelaskan, pengwujudan biro-biro terbabit bukanlah untuk mencari kesalahan, tetapi adalah untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan demi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberi kepada rakyat. “Jika ada aduan yang diterima, kita akan buat kajian dan cari jalan penyelesaian. Setelah itu kita akan kemukakan aduan berserta cara-cara yang difikirkan wajar menyelesaikan masalah terbabit kepada pihak-pihak berkaitan,” katanya. Setakat ini ujarnya, beberapa masalah mas-yarakat yang dibawa pihaknya seperti kepada pihak Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Jabatan Tanah, telah pun berjaya diselesaikan. “Kita berterima kasih di atas kerjasama yang diberikan agensi-agensi kerajaan yang terlibat. Kepada masyarakat pula, kita berharap biro ini akan dapat memainkan perananya membantu mereka,” kata beliau. Pejabat kedua-dua biro itu ujarnya terletak di TB 1784, Taman Gek Poh, Batu 1 Jalan Kuhara Tawau dan nombor telefon yang boleh dihubungi ialah 089-749 163. Hadir sama pada program pelancaran itu ialah Pengarah Biro Pusat Perkhidmatan Awam Aaron Wong dan Ketua Biro Pusat Perkhidmatan Awam, Gan Chee Chan.

No comments:

Contact Me