Naskhah Evolusi: KL Drift hanyalah sebuah pengulangan klise remaja tempatan tanpa membawa sebarang pembaharuan dalam naratifnya.
FILEM bermula dengan imej kereta dan perlumbaan haram kereta yang membuat drift di lebuh raya di dada kota Kuala Lumpur. Para pelumbanya merupakan sekumpulan remaja dan anak muda yang mempunyai banyak wang dan datang daripada keluarga yang berada.Ini adalah dunia remaja yang tidak difahami oleh anak-anak muda kampung yang meminati muzik dangdut.
Mereka menghabiskan masa dan wang untuk mengubah kereta dengan memperkasa enjin dan bentuk kereta supaya ia mampu membuat drift, iaitu pemanduan kereta secara laju, gaya berbahaya dan memusingkan kereta serta mengelunsurkan terutamanya di selekoh. Kegiatan drift mula dipopularkan di Jepun sekitar tahun 1970-an.
Selain daripada muzik rock, kereta dan motosikal adalah ikon yang menjadi trend paling banyak dikaitkan dengan budaya anak muda. Kereta adalah lambang kebebasan baru anak-anak muda remaja.
Dalam konteks sosial masyarakat tempatan ia dikaitkan pula dengan perlumbaan haram. Beberapa filem remaja seperti Remp-it, Impak Maksima dan KL Menjerit memperlihatkan hubungan kecenderungan ini dengan krisis budaya anak muda.
Sebagai sebuah filem, Evolusi: KL Drift mempunyai jalan cerita yang begitu nipis dan plotnya digerakkan oleh konsep suntingan pantas yang membantu mempercepatkan tempo filem ini.
Ceritanya dipadatkan dalam jangka masa yang pendek, hanya berlegar di sekitar jalan raya tempat berlumba kereta, disko dan bengkel kereta.
Rumah hanya sekadar persinggahan sebentar. Apa yang ketara filem ini hanya menumpukan pada kegiatan remaja dan anak muda. Orang dewasa yang dianggap mewakili keluarga sengaja tidak diwujudkan.
Untuk lebih tepat, watak sebenar filem ini adalah kereta. Kereta menjadi pelakon utamanya, manusianya sekadar pelengkap.
Sebahagian besar adegan dalam filem ini melibatkan perlumbaan kereta dan drift yang sememangnya digambarkan dengan penuh tenaga dan tinggi adrenalinnya.
Pergaduhan antara gang Zack (Syamsul) dan Jo (Aaron Aziz) sebagai ketua pengedar dadah diselesaikan melalui perlumbaan kereta. Begitu juga perselisihan faham antara persahabatan lelaki dan perempuan iaitu antara Zack dan teman wanitanya Fasha (Fasha Sandha) juga perlu diselesaikan melalui perlumbaan kereta.
Hal ini barangkali dilakukan tanpa sedar oleh pengarahnya yang membuka imej awal filemnya dengan kekaguman terhadap kereta dan perlumbaan kereta.
Kereta-kereta dihias garang untuk mewakili personaliti pemandunya dan kehandalan serta kehebatan gaya pemanduannya.
Tidak dinafikan yang filem ini jelas sekali mendapat pengaruh daripada beberapa filem drift seperti Fast and Furious (Rob Cohen, 2001) dan filem tempatan yang mengangkat tema drift dan lumba kereta haram seperti Gangster, Rempit, KL. Menjerit dan Impak Maksima.
PengalamanRaja Mukriz selaku pengarah fotografinya mempunyai cukup pengalaman setelah menjadi pengarah fotografi untuk filem-filem yang banyak melibatkan perlumbaan kereta dan motor tersebut.
Bagaimanapun, Syamsul sekadar mengulang klise filem remaja tersebut, tanpa membawa pembaharuan apa-apa dalam naratifnya.
Selain kereta dan perlumbaannya, plot konvensionalnya masih mengekalkan isu stereotaip, masalah hubungan tiga segi antara Zack, Fasha dan Syam (Farid Kamil), kegiatan jenayah anak muda iaitu kenakalan dan penggunaan dadah.
Bagaimanapun, kenakalan dan jenayah yang disensasikan dan permasalahan sosial remaja dalam filem ini sekadar dijadikan ruang untuk memungkinkan satu bentuk eksploitasi yang boleh digunakan untuk memaksimakan potensi komersial filem ini.
Hal ini kerana titik plot ini diambil secara mudah dan di permukaan sahaja, tanpa ada pendekatan untuk memahami psikologi watak remaja-remaja ini yang tidak mempunyai visi.
Maka itu saya melihat Evolusi: KL Drift tidak lebih daripada sebuah permainan video kereta drift dengan konsep imej cut and paste.
Sungguhpun begitu dalam imej visual filem ini, satu hal yang menonjol adalah pemilihan lokasi perlumbaan dan drift. Filem ini dibuka dengan perlumbaan drift di jalan sekitar bangunan Parlimen, kemudian berlanjutan ke jalan di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad dan klimaks terakhir di kawasan sekitar Putrajaya. Imej yang dominan ini mengambarkan cabaran anak muda yang bertindak ekstrem dengan berlumba haram dan membuat pertunjukkan drift yang menunjukkan kehebatan mereka di hadapan bangunan-bangunan yang menjadi lambang pentadbiran negara tanpa mampu dihalang oleh pihak berkuasa polis.
Biarpun lokasi ini diulang-ulang penggunaannya dalam seluruh filem ini, sayangnya tanpa dokongan plot yang mampu memperkuatkan pemikiran subteks dalam naratifnya. Jika tidak, simbol dan gambaran yang dihantar oleh imej filem ini agak menarik untuk dibincangkan.
No comments:
Post a Comment