Sunday, April 27, 2008

Panorama indah Port Stephens

Bandar peranginan tepi laut tawar banyak lokasi menarik yang tidak ada di tempat lainJIKA ke Sydney, Australia jangan lupa ke Port Stephens untuk menikmati keindahan panorama alam semula jadi pesisir pantai yang jarang ditawarkan di tempat lain. Yang pasti, walaupun perjalanan dari Sydney mengambil masa hampir empat jam menaiki kereta atau bas, anda tidak akan berasa penat sebaik saja menjejakkan kaki di bandar peranginan tepi laut ini. Bandar peranginan yang popular dengan makanan laut dan pemandangan indah membuatkan pengunjung tidak akan berasa jemu menikmati pelbagai produk pelancongan yang ditawarkan kepada semua peringkat umur.

Bandar ini mempunyai keluasan 1,000 kilometer persegi terdiri daripada semenanjung dan pulau kecil menghadap Lautan Pasifik. Ia sesuai untuk mereka yang mahu lari daripada kesibukan kota bagi menghidu udara segar. Bandar peranginan tepi laut ini menawarkan banyak lokasi menarik antaranya pantai Samurai, Box, Zenith, Bagnalls dan Dutchamns, selain safari pasir di pantai Stockton. Anda juga boleh menyaksikan ikan lumba-lumba dan ikan paus di selat Port Stephens menghadap Lautan Pasifik serta pelbagai jenis binatang di taman hidupan liar - Australian Reptile Park.
BERMAIN papan luncur di 'sand safari' di pantai Stockton. Untuk pertama kalinya ketika perjalanan ke Port Stephens dari Sydney, anda boleh menjelajah pasir safari (Sand Safaris) di pantai Stockton sepanjang 32 kilometer dengan menaiki pacuan empat roda merentasi padang pasir gumuk (sand dune) yang kubah pasirnya bertukar mengikut arah angin bertiup antara 20 hingga 30 knot. Bentuk muka bumi pasir halus itu menjadi satu tarikan pelancong kerana ia kawasan padang pasir halus yang paling luas di hemisphere selatan sejak 2,500 tahun lalu. Anda berpeluang menaiki quadbike, kenderaan empat roda di padang pasir halus itu untuk merasai pengalaman menjelajahi gurun pasir gumuk itu, selain meluncur di atas pasir dengan papan luncur khas yang disediakan. Pelancong juga boleh menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti persisir pantai yang menyeronokkan seperti memancing, berkenu, skuba, jetski serta melihat ikan lumba-lumba yang menghuni laut di sekeliling pantai peranginan itu. Terdapat lebih 160 ikan lumba-lumba yang menjadikan selat di situ habitat mereka dan muncul menghampiri bot Moonshadow Cruise, memberi pelancong satu pengalaman menyeronokkan.
Moonshadow Cruise ialah kapal paling mewah di Port Stephens dan New Castle. Di atas bot berkenaan anda akan berasa seronok melihat kelincahan ikan dolphin yang berenang dan melompat girang di tengah laut yang biru di samping melihat keindahan cahaya bulan mengambang. Pelancong juga boleh bermain air atau bermandi manda air laut yang dingin menerusi kolam jaring yang disediakan Moonshadow Cruise. Selain menaiki Moonshadow Cruise selama dua jam mengelilingi selat, pelancong juga boleh menaiki bot selama tiga jam untuk melihat ikan paus Humpback yang memasuki kawasan di penghujung selat di situ untuk mencari makanan dalam laluan perjalanan mereka menuju ke Lautan Pasifik. Selepas menikmati keseronokan di selat, anda boleh melawat Toboggan Hill Park di Salamander Way, Nelson Bay, memang terkenal dengan Toboggan Run selain mempunyai kemudahan permainan golf mini, aktiviti panjat dinding, permainan kereta dan bot kawalan radio, trak kanak-kanak, permainan video dan sebagainya. Mengakhiri lawatan, ketika dalam perjalanan pulang ke Sydney, anda boleh ke taman hidupan liar - Australian Reptile Park - untuk melihat sendiri buaya, beruang koala yang menjadi identiti Australia selain kanggaru dan pelbagai jenis ular.

No comments:

Contact Me