Wednesday, October 22, 2008

Teman bersedih dan gembira - Sebab Mawi pilih Ekin

"KITA kahwin bulan 12 nanti ya." Itu adalah ayat lamaran Mawi kepada Ekin pada 30 April lalu menerusi telefon semasa penyanyi popular itu berada di Syria untuk rakaman program Mawi Di Bumi Ambia. Ekin, 29, yang terperanjat dengan lamaran tanpa diduga itu tidak pernah menyangka ayat tersebut boleh lahir daripada mulut kekasih hatinya itu. Lamaran detik 12.30 tengah malam itu memulakan segala perancangan perkahwinan yang menjadi pertanyaan ramai sebelum ini. Dan semuanya dijawab pada sidang media khas yang diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses, petang semalam. Sidang media selama satu jam ini berlangsung dalam suasana terkawal dengan kehadiran lebih 50 anggota media cetak dan elektronik. Menjadi salah satu hari bersejarah dalam hidupnya, Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 27 tahun telah memilih tarikh 20 Disember untuk majlis akad nikah bersama Nora'asikin Rahmat atau Ekin di salah sebuah majid Johor Bahru (JB). Manakala di sebelah malamnya akan diadakan pula majlis resepsi sebelah Ekin di Stadium Tertutup JB. Tarikh 28 Disember pula dipilih untuk mengadakan majlis resepsi keluarga Mawi di dewan Felda Taib Andak. Sementara itu, majlis resepsi istimewa di Kuala Lumpur (KL) pula akan diadakan pada 11 Januari di Hotel Palace of the Golden Horses atas restu keluarga kedua-dua pihak. Belum memastikan destinasi berbulan madu, Mawi juga buat kali pertamanya menunjukkan kad perkahwinannya yang ditempah khas dari Jakarta, Indonesia kepada media pada majlis itu. Tidak menjadikan usia sebagai penghalang, berikut adalah antara soalan yang dilemparkan kepada Mawi dan Ekin semasa sidang media khas untuk tatapan pembaca. Ceritakan secara terperinci majlis yang bakal diadakan di JB, Felda Taib Andak dan KL nanti? MAWI: Sekarang proses persiapan sudah siap sebanyak 50 peratus. Konsep majlis Ekin adalah moden kontemporari dan akan diadakan di stadium kerana faktor keluasan lokasi. Manakala di Felda (Felda Taib Andak) pula saya memilih konsep Jawa. Di Felda, saya menjangkakan seramai 15,000 tetamu dan mungkin ada kejutan menaiki helikopter seperti yang dihebohkan. Konsep Arab pula dipilih untuk resepsi di KL. SENYUMAN manis bakal pengantin baru. Bagaimana pula dengan hantaran? M: Apabila saya bertanya dengan keluarga Ekin mengenai soal hantaran, mereka cuma memberitahu itu semua terpulang kepada saya. Jadi saya kini masih lagi keliru. Tetapi kami akan bertukar sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang. Adakah Ekin sudah bersedia untuk menjadi isteri kepada seorang artis? Sebelum ini anda selalu dikritik terutamanya ditahap permulaan hubungan? Ekin:Mula-mula rasa sukar dan hampir berputus asa tetapi sekarang saya sudah belajar untuk banyak bersabar dan lebih matang. Mawi banyak memberi sokongan dan semangat. Mawi juga mengajar supaya mudah memaafkan orang supaya tidak berdendam. Memang merancang untuk tidak bertunang? M: Kedua-dua keluarga kami memang sudah berbincang untuk tidak bertunang dan sebaliknya bernikah terus. Bukankah sebelum ini Mawi hanya mahukan sebuah majlis perkahwinan yang sederhana? Nampaknya sekarang bukan sahaja majlis ini dilakukan secara besar-besaran tetapi ada empat majlis kesemuanya. M:Bila kita buat majlis kecil, ada pula yang cakap kita kedekut. Dan selepas berfikir panjang, rasanya majlis ini perlu dilakukan sedemikian sebagai satu cara membalas jasa mereka yang telah banyak membantu terutamanya Astro dan peminat. Dengan siaran Astro, berjuta-juta orang boleh berkongsi kegembiraan saya. Mungkin ini rezeki saya kerana perkahwinan saya dapat disiarkan. Lagipun Astro bukannya sahaja menyiarkan majlis kami tetapi juga bersama-sama merancang serta menyumbang idea. Mengapa mengambil masa yang lama untuk mengumumkan hubungan anda? M: Bukannya kami terus bercinta selepas berkenalan. Jadi masa itu tidak perlu lagi umum. Maka ketika itu kami banyak berahsia. Tetapi kami tidak pernah nafi, cuma tidak mahu memberikan komen lanjut. Mawi berkahwin pada ambang popular. Tidakkah ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi kerjaya anda? M: Ini bukan satu tekanan dan saya berkahwin atas kerelaan diri. Naik turun karier tidak terletak dalam tangan saya. Itu semua soal rezeki. Mengapa memilih tarikh 20 Disember? M: Selepas pulang dari Syria, kakak saya adalah orang pertama mengetahui berita ini. Kemudian kami pergi merisik dan mula berbincang mengenai tarikh. Tiada apa-apa yang istimewa. Cuma masa itu adalah cuti sekolah dan hari Sabtu. Maka ramai orang boleh datang memeriahkan majlis. Ada pihak yang menyifatkan majlis perkahwinan anda ditaja sepenuhnya? M: Tajaan itu memang ada tetapi bukan sepenuhnya. Kita juga ada keluar duit sendiri. Kriteria Ekin yang membuatkan anda memilihnya sebagai isteri? M: Ekin adalah teman akrab saya sewaktu saya sedih dan gembira. Dia seorang yang sempoi dan mengambil berat terhadap saya dan memahami kerjaya saya. Apa yang penting dia boleh bergaul dengan orang di sekeliling saya terutamanya ibu saya, Ramlah Sarlan. Dia dapat membuat ibu saya senyum dan ketawa pada pertemuan pertama mereka. Ibu saya seorang yang sukar untuk senyum dan bergaul dengan orang luar. Jadi saya berasa kagum Ekin mampu membuatkan dia tersenyum. Perasaan selepas mengumumkan perkahwinan ini? Adakah seperti sudah melepaskan satu beban? MAWI dan Ikin saling bercanda dan bergurau senda dalam sidang akhbar selama satu jam semalam. M: Saya tidak menganggap perkahwinan ini satu bebanan. Ia adalah satu majlis yang bermakna dan bahagia dalam hidup saya. Dan saya telah menunaikan janji saya kepada media untuk membuat pengumuman mengenai majlis perkahwinan saya. Diharap semuanya berjalan lancar selepas ini. Adakah Ekin akan meneruskan karier seninya? M: Saya tidak pernah menyekat kerjaya Ekin. Saya tidak kisah kalau dia mahu terus berlakon, mengacara atau menjadi model. Pernahkah Mawi berasa cemburu dengan skop karier Ekin? E: Dia seorang yang ceria dan juga memahami kerjaya saya. Tetapi sifatnya itu membuatkan saya berfikir sama ada dia mempunyai perasaan atau tidak. Bagaimana pula dengan perancangan karier Mawi selepas ini? M: Saya hanya akan bercuti mulai 12 Disember nanti. Selepas ini saya masih akan terus menyanyi dan mengacara. Kalau ada peluang, saya akan berlakon. Perancangan untuk menimang cahaya mata? M: Itu jauh lagi dan masih belum ada sebarang perancangan. Semuanya bergantung kepada rezeki. Impian untuk perkahwinan ini? M: Pada malam 27 Disember nanti saya akan mengadakan satu konsert khas kepada peminat saya di padang Felda Taib Andak. Saya akan menjemput rakan-rakan AF saya untuk turut sama menghiburkan peminat dan konsert ini adalah percuma. Ini adalah hadiah saya kepada peminat. Rekaan busana pada majlis nanti? M: Ekin akan memakai pakaian rekaan Cosry dan pelamin Ekin pula akan direka oleh Nas, Great Idea. Saya pula akan memakai pakaian rekaan Zul Fazley dan Amar Couture. Di KL pula kami akan memakai pakaian rekaan Rizalman serta Bon Zainal yang turut akan mereka pelamin kami.

1 comment:

PakciQue said...

Mawi dan Ekin nak kahwin. Ada pro ada cons. Aku taknak bincang isu itu.

Tapi, aku lebih suka isu perang rating di antara TV3 dan Astro. Dulu Astro pecahkan rating TV3 masa perkahwinan Siti dengan program Mawi & Ina. Sekarang apa TV3 nak buat untuk pecahkan rating Atro?

Perang Rating Bermula [BACAAN LANJUT]

Contact Me