LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson bersedia membelanjakan 40 juta pound (RM248.98 juta) untuk mendapatkan bakat-bakat baru yang mampu membantu pasukannya mengekalkan cabaran dalam kempen Liga Perdana England musim depan. Skuad Red Devils itu kini semakin hampir mempertahankan gelaran mereka selepas mempunyai kelebihan lima mata ke atas Chelsea dengan baki empat lagi perlawanan. Kini Ferguson sedang memantau empat bintang muda yang bakal dibawanya ke Old Trafford musim depan. Bintang Portugal dan Sporting Lisbon, Miguel Veloso dan Joao Moutinho merupakan sasaran utama United pada musim panas ini. Dalam masa yang sama, Ferguson juga berminat untuk mendapatkan dua penyerang Wigan, Wilson Palacios dan Luis Antonio Valencia. Oktober lalu akhbar The Sun mendedahkan bahawa Ferguson berminat dengan dua pemain perancang, Veloso dan Moutinho yang turut disenaraikan dalam skuad Portugal pada kempen Euro 2008 nanti. Moutinho, 21, membuat 11 penampilan bersama Portugal dan kemahiran gelecek serta kepantasan lariannya amat sesuai dengan corak permainan United. Veloso pula merupakan perancang yang banyak beraksi secara bertahan. Pemain yang membuat lima penampilan buat Portugal itu juga boleh beraksi di posisi pertahanan tengah dan tepi. Sementara dua pemain Wigan, Palacios, 23, dan Valencia, 22, pula menjadi tonggak utama kepada kebangkitan pasukannya musim ini sejak dipinjamkan dari kelab Honduras, Olimpia Januari lalu. Musim lepas, United membelanjakan 80 juta pound (RM498.3 juta) untuk mendapatkan Anderson, Nani, Owen Hargreaves dan Carlos Tevez. - Agensi
No comments:
Post a Comment